Resdung adalah perkataan yang digunakan untuk menggambarkan pelbagai penyakit hidung. Salah satu punca gelaja-gejala resdung adalah akibat jangkitan bakteria ke atas hidung dan rongga di sekelilingnya.
APAKAH SINUS (RESDUNG)?
Sinus sebenarnya adalah rongga-rongga di dalam tulang muka di sekeliling hidung. Rongga ini bersambung ke hidung melalui aluran-aluran yang sangat kecil. Biasanya lendir dihasilkan oleh rongga-rongga ini setiap masa dan disalirkan ke dalam hidung. Jika aliran dari sinus ini tersumbat maka lendir ini akan berkumpul seterusnya kuman bakteria akan membiak di dalam rongga sinus ini. Ini menyebabkan penghasilan nanah dan juga bengkakan di dalam lapisan hidung.
GEJALA SINUSITIS
- Sumbat hidung
- Lendir dari hidung dan tekak
- Sakit atau rasa berat muka terutama diantara mata
- Sakit tekak yang berpanjangan dan berulang
- Demam atau rasa tidak sedap badan yang berpanjangan
- Gejala alahan hidung seperti bersin, gatal hidung dan sebagainya
KEMUDARATAN SINUSITIS (RESDUNG)
- Jangkitan nanah di kawasan sekeliling mata
- Jangkitan otak
- Sakit tekak yang kronik
- Jangkitan tulang muka
- Menerukkan keadaan lelah
- Berdengkur secara kronik
- Menyebabkan jangkitan telinga dan tonsil
- Alahan hidung
- Selesema biasa yang melarat
Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) berkata, masalah resdung berpunca daripada alahan terhadap habuk, kutu dan pijat atau makanan tertentu.
Untuk mengatasi masalah alahan, amalkan petua berikut :
- elakkan membela binatang berbulu dalam rumah seperti kucing, arnab dan anjing.
- elakkan menggunakan kain selimut yang diperbuat daripada bulu binatang, sebaliknya gunakan selimut yang diperbuat daripada bahan-bahan sintetik (tiruan).
- elakkan menggunakan tilam dan bantal yang dibuat daripada bulu binatang. Selalu basuh sarung tilam/bantal dengan air panas untuk membunuh pijat/serangga dan membuang habuk sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
- gunakan pembersih hampagas yang baik dan mempunyai penapis yang baik.
- kurangkan penggunaan permaidani dan set sofa yang dibuat daripada barang-barang kain atau bulu.
- berhati-hati bagi pengguna katil di tingkat bawah kerana anda akan menyedut segala habuk dari tilam atas.
- selalu basuh barang permainan yang lembut.
- simpan pakaian di dalam almari yang tertutup.
- elakkan penggunaan tirai langsir yang berat dan banyak kain. Selalu cuci kalau menggunakan penapis nyamuk pada tingkap.
- gunakan kain yang lembap untuk mengelap barangan alat perkakas rumah.
- amalkan menggunakan penutup hidung semasa mengemas rumah/perabot.
- elakkan memakan makanan yang ada alah padanya.